Wednesday, May 2, 2012

Apa Tu Masa Depan?? Benarkah ia wujud??

Dikala dinihari kadang-kadang aku mula pelik melihat orang yang tak habis-habis meluahkan pendapat yang merasakan mereka benar sebenar-benarnya. Macam Al-Quran mungkin. Dan ada segelintir tak habis-habis mengucapkan rasa bersyukur lepas dapat kerja kerajaan. "Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana membantu hambamu ini". Kekadang kurasakan ucapannya kurang sempurna? Bukankah sepatutnya bersyukur kepada Ilahi dan terima kasih kepada Pak Long@Pak Ngah@Pak Cik yang membantu saya mendapatkan kerja tanpa perlu bersusah payah seperti orang yang lain kerana mereka berpangkat. Kenapa disembunyikan??

Ahh perkara remah buat apa nak diberitahu.....Mungkin Ahmad penoreh getah dari Kodiang juga hadir ke temuduga di Putrajaya. Mungkin perlu kumpul duit dahulu dan batalkan niat nak beli Converse Jack Parcell di Pacific Alor Star dan gunakan wang tu untuk pergi ke temuduga mana tahu untung-untung ada rezeki berkerja di aircond, boleh pakai kemaja . Tapi Ahmad lupa. Dia takdak Pak Long. Tapi takpa Ahmad usaha lagi. Tapi tangganya kena daki tingggggiiiiiiiiiiiiiiii....Macam tangga Batu Cave mungkin.

Yang "bersyukur kehadrat Ilahi" baru masuk dah dapat keistimewaan Menteri. Ya lah Pak Long kan ada di sini menanti anak buah kesayangan melihat dari cermin setiap hari. Ahh itu kan rezeki masing-masing kenapa perlu banyak berbunyi. Persetanlah kamu semua wahai makhluk berhasad kiri. Hidup kenalah berdikari, berusaha sendiri baru boleh maju kata pekerja baru yang "Pak Long nya melihat dari cermin setiap hari.

Ku lihat pulak di kiri. Hidup mereka memberi pengaruh kepada orang lain untuk kemahuan sendiri. Dikatakan pendidikan untuk mengajar orang berfikir. Tapi yang kulihat pembelajaran yang lebih dasyat. Yang boleh dilihat dalam buku-buku sejarah. Sebelum tektonik bumi berubah mungkin. Sebelum lembing dan beliung dicipta mungkin. Yang pasti ia tak semesra kartun Flinstone. Flinstone cuma fantasi. Mereka mempercayai rantai dan siratan makanan seperti kita. Dikatakan siapa yang besar, yang kuat akan menang dan yang lemah akan mati. Mungkin mereka lupa yang bumi Tuhan luas. Mereka lupa yang manusia lahirnya tiada sayap tapi ada yang sudah "terbang" dengan Firefly sebelum boleh bercakap. Mereka percaya yang harimau bintang adalah hidupan paling pantas di daratan sedangkan mereka memacu Mitsubishi Lancer Evo 7 melebihi 2 kali kelajuan yang ditetapkan kerajaan sedangkan harimau bintang masih mematuhi had laju speed trap. Yaa kerajaan tidak adil apa perlunya mengikut undang-undang tak munasabah. Kan kita Demokrasi. Maka yang mengajinya tidak habis juga boleh bercakap tinggi walaupun kata-katanya sendiri tidak dimengerti empunya diri. Percayalah kita setinggi-tingginya kepada ilmu halusinasi turun temurun tanpa sempat menghayati erti hidup secara sendiri. Muhasabah diri?? Tu cerita petang-petang cerita orang tua-tua yang menunggu usia nak mati. Kenapa perlu muhasabah diri? Kan lebih baik diri ini dijajah biar sebati seperti orang Itali walaupun kulitnya mengelupas dan hampir mati rindukan jatidiri yang dah lama diam menyepi.

Ku lihat ke kanan. Mereka sibuk berjuang. Ada yang dengan slogan Reformasi, Bebaskan Kami. Ada antara mereka yang faham. Yang fasih tentang apa yang dijuangkan. Ideologi manusia pasti bercanggah dan kita bukan Tuhan untuk menentukan kebenaran dengan mata kasar dan akal fikiran. Ingatkah kita kisah Khidir dan Musa. Khidir melubangi perahu, membunuh anak kecil dan membaiki rumah yang hampir robah. Nabi Musa tertanya-tanya dengan perbuatan yang "dilarang" tersebut tetapi dilarang sehinggalah Khidir sendiri yang memberitahu tentang ilmunya yang dikurnia Tuhan...... Namun masih ramai yang dikudakan hidup dan mati. Masuk tokan jalan-masuk tokan jalan. Tar nya masih belum kering. Amaran!! Dilarang lalu. Namun tetap dirempuh kononnya tahap keyakinan tinggi. Bila tayar meletup terus minta simpati. Mungkin sudah lupa keyakinan tadi atau mungkin baru tersedar dari simptom lupa diri. Mereka dijanjikan kesenangan berkali-kali, berguni-guni macam sinetron dan masih mengangkat bendera setinggi-tinggi pohon kelapa yang kita pernah lihat di kampung-kampung ada yang sudah condong tapi masih hijau memberi erti kepada makhluk bergelar manusia yang segelintirnya telah busuk ketika muda. Bukankah sepatutunya ranum?? Itukan takdir. Terimalah seadanya. Congan kata Melayu selamanya....Jangan dibuang ia turun temurun kita. Tapi maaf. Bagiku ia sudah tiada.

Rasulullah dilindungi awan mendung tiap kali berjalan, menjadi kekasih Allah dan mengetahui saat kematian baginda hampir tiba. Sungguh berbeza dengan kita. Namun disediakan segala strategi untuk hidup, untuk perang, untuk berumah tangga. Kenapa tak diserahkan semuanya bulat-bulat kepada Allah? Kerana itulah hidup. Lupakah kita dengan rukun iman. Aku pun terlupa kadang kala. Kena menyanyi macam kanak-kanak ribena baru ingat. Moga diampunkan yang Esa. Yang ke-6. Percaya kepada Qada dan Qadar.  Kenapa perlu adanya Qadar?. Aku bukan orang agama tapi aku tau hukum alam. Jika tiada angin masakan pokok bergoyang. Aku rasa yang tak tahu ilmu alam juga tahu lagu "Tanya sama pokok, apa sebab goyang". Akademi Fantasia, mestilah tau kalau tak AMAREKA lah kamu.

Ingatkah kita peristiwa memindahkan hajaratul aswad. kabilah-kabilah bercanggah dan Nabi menyelesaikan dengan memberikan ketua bagi tiap kabilah memegang seluruh tepi kain serban baginda dimana di atasnya diletakkan batu Hajaratul Aswad. Ianya cuba di adili se adil mungkin. Bukan sebahagian bertongkat dagu dan sebahagian berzikir. Namun tidak juga dikatakan yang satu kepada satu adalah adil. Berpandu situasi dan keadaan selepas dihitung fikir.

Alam sentiasa rahsia untuk kita kerana cebisan akal kita gagal berfungsi dengan stabil mungkin selepas dilonggak ideologi kapitalis yang menebal lebih dari kitab Injil. Ini cerita kanak-kanak yang pasti lepas mumayyiz namun tak perlu jadi ustaz atau tok guru untuk dimengerti. Ia cerita kita untuk kita atau mungkin cerita aku untuk aku.

Ku lihat pula diri sendiri. Ohh sungguh comot, tak mandi dan belum bangun dari katil sambil menaip dan menghirup madu lemon hasil tangan sendiri. Banyak benar yang tak kena dengan diri ku ini. Tapi masih menaip kononnya untuk berkongsi. Bangunlah. Jangan omong kosong di katil empuk lagi. Matahari dah tinggi. Kejarlah hidup untuk mati. Biar jasadmu berbudi sebelum pergi.

Bumi masih berpaksi pada laluan orbit namun ada kala ia juga lari. Mungkin latihan sementara menunggu Tiupan Kedua Penunggu Sepi. Yang pasti tiada juri, ia hakiki untuk yang mempercayai.

Apakah ini masa depan?? Qada dan Qadar. Percayalah. Ianya Ada.....

Sentuhlah daun. Berterima kasih lah kepadanya kerana dipilih menjadi wakil pembekal udara segar untuk anda. Selamat pagi dunia.

Percaya Kepada Allah
Percaya Kepada Malaikat
Percaya Kepada Kitab
Percaya Kepada Rasul
Percaya Kepada Hari Kiamat
Percaya Kepada Qada dan Qadar.

No comments:

Post a Comment